Monday, July 28, 2008

Projek tani di Kelantan dipercepat


ZAKI Abdul Rahman menjalankan kerja-kerja merumput di sawahnya di Bendang Perangkap Pasir Mas, semalam.


PASIR MAS 28 Julai - Masalah kekurangan beras yang mengejut dan lonjakan harga yang ketara di banyak negara termasuk Malaysia, suatu yang tidak pernah diduga, malah kesannya agak membimbangkan seketika.

Ia mula membuka mata banyak pihak ketika tanah sawah semakin mengecil di negara ini atas alasan pembangunan.

Usaha untuk menambahkan pengeluaran padi negara telah lama dilaungkan oleh kerajaan agar mencapai tahap sara diri tetapi ia tidak begitu disahut sehingga negara turut mengalami kekurangan bahan ruji itu.

Bagi menangani masalah itu, Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) telah mengadakan inisiatif iaitu memajukan tanah terbiar seperti di Bendang Perangkap, Bunut Susu, Pasir Mas secara komersial.

Namun ia tidak membawa banyak makna jika masyarakat setempat tidak berhasrat untuk turut serta.

Tanah dengan keluasan tanah 150 hektar terbiar sejak lima tahun lalu dengan pelbagai masalah sebagai alasan dan ia hanya sebahagian kecil daripada 10,000 hektar sawah yang tidak memberi sebarang nilai.

Di situ, bulan lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melancarkan Pelan Peningkatan Pengeluaran Beras Negara dan Bendang Perangkap menjadi perintis terhadap usaha bersepadu memajukan tanah terbiar di dalam dan di luar kawasan jelapang di seluruh negara.

Pada majlis tersebut Perdana Menteri turut menyerahkan geran bernilai RM64.85 kepada Kada bagi program meningkatkan pengeluaran padi di negeri ini serta memberikan bantuan kepada petani untuk membeli traktor.

Di Bendang Perangkap, Kada membantu melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan infrastruktur pengairan dan saliran, rangkaian jalan, meratakan tanah sawah, meningkatkan kesuburan dan mengawal makhluk perosak.

Khidmat sokongan juga akan diperkukuhkan melalui pemilikan jentera dan mekanisme ladang, di samping program penyelidikan dan promosi teknologi dan juga pemberian subsidi serta insentif.

Tentunya ia menelan kos yang besar dan tiada lagi alasan bahawa kawasan seperti ini tidak lagi sesuai untuk tanaman padi dalam usaha menggalak petani membangunkan tanah untuk kepentingan diri sendiri.

Buat permulaan seramai lapan petani telah mengambil inisiatif untuk mengusahakan sawah di Bendang Perangkap dengan menyewanya daripada penduduk tempatan.

Penyelia Pengembangan Pusat Kemajuan Peladang Pasir Mas, Che Kamaruddin Che Yusoff berkata, pihaknya telah mengenal pasti tanah itu sejak lima tahun lalu tetapi mempunyai masalah daripada pemilik tanah untuk membangunkan tanah tersebut.

"Usaha ini berhasil pada awal Mac dan pihak kami sedang berbincang bagi membangunkan tanah itu sebagai satu lagi projek di bawah konsep Ladang Merdeka.

"Kawasan itu akan ditanam padi jenis MR220 dan penanaman kali ini bermatlamatkan untuk menghasilkan 10 tan bagi satu hektar berbanding hanya tiga hingga empat tan padi sebelum ini," katanya.

Kamaruddin berkata, jenis bahan yang dikenal pasti bagi meningkatkan hasil pengeluaran padi ialah kapur putih dan baja tambahan.

Dengan kesuburan tanah dipulihkan, sumber air yang cukup serta pengguna jentera, beliau yakin mampu mencecah hasil sebanyak 10 tan padi bagi satu hektar, suatu yang mungkin mustahil di negeri ini selama ini.

''Hasil keuntungan padi yang diperoleh akan dikongsi bersama pemilik tanah selepas mengira modal yang telah dikeluarkan. Antara modal yang di keluarkan adalah baja, racun, benih, kapur putih, pengangkutan dan gaji buruh," ujarnya.

Katanya, jika padi dapat dihasilkan mengikut perancangan iaitu 10 tan bagi satu hektar bakal menyaksikan perubahan ketara dalam cara mengerjakan sawah di negeri ini dengan perolehan yang begitu besar.

"Kami tidak bermotifkan keuntungan sebaliknya berusaha membantu petani untuk menghasilkan padi dan cara terbaru ini akan diperluaskan apabila dapat melihat hasilnya nanti," katanya.

Beliau yakin, padi yang ditanam dua kali setahun dan tempoh matang kira-kira 100 hari itu bakal memberi keuntungan kepada semua pihak termasuk pemilik tanah dan orang ramai.

Dalam pada itu seorang pengusaha, Md. Zakri Yusof, 40, berkata, proses penanaman padi di kawasan berkenaan bermula pada 13 Jun lalu dan sehingga kini 45 peratus sudah siap dilaksanakan.

"Saya mengusahakan 10.8 hektar sawah padi sini, kos keseluruhan untuk menanam padi di sini tidak dapat dianggarkan secara tepat kerana saya terpaksa menggunakan pelbagai teknik pertanian.

"Buat masa ini saya menggunakan enam pekerja dari selatan Thai untuk menyemai padi dan Kada memberikan banyak bantuan bagi memudahkan proses tanaman padi di sini," katanya.

Katanya, beliau menanam padi kerana minat dan menyedari potensi yang semakin besar sebagai sumber pendapatan sekiranya ia dilakukan secara bersungguh-sungguh.

Seorang lagi pengusaha, Zaki Abdul Rahman, 37, berkata, pihaknya tidak mengalami kesukaran untuk menanam padi di kawasan berkenaan kerana KADA menyediakan kemudahan tali air dengan baik.

"Setakat ini kami tidak ada masalah dengan air kerana tali air yang ada agak baik," katanya yang mengusahakan 12.8 hektar sawah di Bendang Perangkap.

Husni Razak, 40, pula berterima kasih kerana kerajaan telah memberikan pelbagai insentif untuk membantu petani dan beliau ingin membuktikan ia dapat dijayakan dengan kesungguhan.

"Saya juga mencadangkan bagi menggalakkan lagi penanaman padi, kerajaan boleh menganjurkan pertandingan menanam padi berasaskan jumlah hasil tuaian. Harga padi dan beras yang tinggi ini menambahkan semangat," ujarnya.

No comments: