Friday, July 25, 2008

Perluas fungsi masjid

24/07/2008

Firman Allah: Bahawasanya orang yang sentiasa memakmurkan masjid-masjid Allah. Itu adalah orang-orang yang beriman kepada Allah SWT, dan hari Akhirat serta mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah. Semoga merekalah diharapkan menjadi golongan yang mendapat hidayah (petunjuk Allah swt). (at-Taubah: 18)

MASJID memainkan peranan penting dalam Islam. Pada zaman Rasulullah SAW, masjid bukan sahaja menjadi rumah ibadat tetapi juga pusat bersosial umat Islam termasuklah kawasan perniagaan.

Sesuai dengan hal yang demikian, fungsi masjid dewasa ini perlu diperluaskan bagi mencetuskan nilai-nilai positif dalam pembangunan ummah, kata Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Nasir Sakaran.

Katanya, kerajaan menyedari betapa pentingnya peranan masjid memupuk perpaduan di kalangan umat Islam dan fungsinya perlu diperluaskan.

Katanya, masjid perlu diperluaskan fungsinya agar tidak hanya diimarahkan oleh golongan tertentu sahaja seperti golongan warga emas malah golongan remaja perlu diberi ruang yang luas supaya mereka dapat memberi sumbangan kepada pembangunan ummah.

Nasir yang juga menteri bertanggungjawab mengenai hal ehwal agama Islam di Sabah berkata, masjid merupakan rumah ibadat dan pusat pengembangan syiar Islam.

Sehubungan itu katanya, mengimarahkan masjid merupakan peranan penting semua umat Islam agar rumah ibadat ini sentiasa hidup dan memberi impak yang besar kepada kemajuan ummah sejagat.

Katanya, kerajaan juga menyedari betapa pentingnya golongan muda kepada negara dan sewajarnya mereka diberikan peluang mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti agama dan sosial.

Beliau berkata demikian sempena majlis penangguhan rasmi Program Sayangi Masjid bersempena Program menjadikan masjid tempat persinggahan bekas penagih dadah ke-16 anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Masjid Bandaraya, Likas, Kota Kinabalu, Sabah, baru-baru ini.

Program selama 20 hari yang bermula 15 Jun itu disertai 30 orang pelatih Pusat Serenti Papar (PUSPA).

Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah, Amri Suratman, Pengarah Jakim Sabah, Abd. Aziz Che Yakob, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kesuma Jakim, Abd. Azizi Mohammad dan Komandan Pusat Serenti Papar (PUSPA) Roswati Apin.

Nasir berkata, kerajaan menyedari betapa pentingnya sumbangan golongan muda kepada negara dan sewajarnyalah mereka diberikan peluang yang luas mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti di masjid sama ada bercorak keagamaan mahupun kebajikan sosial.

Katanya, meskipun golongan muda ada yang pernah melakukan kesilapan dalam percaturan hidup namun mereka tidak sepatutnya disisihkan kerana mereka juga berhak diberikan ruang melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan.

No comments: