Monday, July 28, 2008

Risda sasar 700 pekebun

KOTA BHARU Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Kelantan mensasar kan 700 anggota keluarga pekebun kecil miskin di negeri ini untuk diberikan pelbagai latihan kemahiran di bawah Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) menjelang akhir tahun ini.

Pengarahnya, Khalid Awang Said berkata, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wila yah memperuntukkan kira-kira RM2.186 juta bagi pelaksanaan program ini yang bermula tahun lalu, melibatkan jajahan Pasir Puteh, Machang dan Tumpat.

Setakat ini, katanya, hanya 80 anggota keluarga berkenaan mengikuti kursus latihan kemahiran seperti automotif, salon, elektrik, mekanik, kejuruteraan komputer dan pembuatan kek di seluruh negara.

‘‘Sebanyak 12 bidang kursus ditawarkan melalui program (PLKK) untuk memberikan ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam tempoh antara satu hingga enam bulan agar mere ka dapat berdikari,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini semalam.

Menurutnya, PLKK ini adalah di antara sembilan program di bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKK) Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah ke arah mencapai kemiskinan sifar menjelang 2010.

‘‘Program itu bukan sahaja terhad kepada keluarga pekebun kecil sahaja malah turut ditawarkan kepada ibu tunggal dan rakyat miskin yang lain berumur antara 18 hingga 30 tahun,” katanya.

Khalid berkata, kini pihak nya sedang meningkatkan program penerangan kepada rakyat di tiga jajahan tersebut mengenai kursus-kursus kemahiran yang ditawarkan secara percuma itu.

No comments: