Sunday, July 6, 2008

SIDANG DUN 7 JULAI 2008

Ketelusan konsep federalisme terus ganggu pembangunan negeri

Soal ketelusan dalam pelaksanaan konsep federalisme terus mengganggu kelancaran pembangunan negeri terutama di Kelantan yang diperintah parti yang berlainan dengan pihak yang berkuasa di peringkat pusat.

Pengerusi jawatankuasa kerajaan tempatan, pelancongan dan kebudayaan, Dato' Takiyuddin Hassan berkata kini gejala yang selama ini menghantui pentadbiran Kelantan mula menular ke negeri-negeri lain apabila rakyat memlilih kerajaan bukan sekutu Barisan Nasional.

"Kita telah lama merasai beban sikap tidak bertanggungjawab kerajaan pusat apabila melibatkan soal projek persekutuan di negeri ini di mana dalam kes terakhir satu projek untuk membina pasar di Rantau Panjang dibatalkan secara tiba-tiba," kata beliau ketika menggulung perbahasan enakmen perbekalan tambahan di persidangan dewan undangan negeri baru-baru ini.

Kini kata beliau penyakit ini telah menular ke negeri lain di mana dengan mengambil contoh Pulau Pinang, seperti dilaporkan media hampir 80 peratus projek-projek yang telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke 9 (RMK-9) telah dibatalkan.

"Dalam akhbar hari ini ketua menteri Pulau Pinang meminta Pak Lah menjelaskan sendiri kepada rakyat berhubung perkara ini," kata beliau.

ADUN mahu pendakwah lebih fokus mengikut spesifikasi masalah umah

Para pendakwah perlu lebih fokus dan spesifik berdasarkan masalah yang dihadapi masyarakat jika mahu usaha mereka lebih berkesan kata Ustaz Muhamad Mustafa (PAS-Demit) di persidangan dewan undangan negeri Kelantan baru-baru ini.

Beliau yang mengemukakan soalan tambahan berkaitan kekurangan tenaga pengajar untuk kuliah di masjid dan madrasah meminta persetujuan kerajaan untuk mewujudkan pengkhususan di kalangan pendakwah.

"Pendakwah seperti doktor perlu spesifik dalam kerja mereka di mana kita ada doktor mata, doktor pakar tulang atau doktor pakar jantung, maka tentulah tidak cukup jika pendakwah terus menjadi pengajar perkara asas dan umum berkaitan Islam tanpa memfokus kepada masalah spesifik yang dihadapi orang ramai," kata beliau.

Menjawab soalan asal yang dikemukakan Wan Ahmad Lutfi Wan Sulaiman (PAS - Kemuning), pengerusi jawatankuasa pembangunan Islam, pendidikan dan dakwah, Ustaz Mohd Amar Nik Abdullah berkata kerajaan sedang meneliti kemungkinan melatih para pendakwah dari kalangan profesional yang sedang bertugas dengan pihak kerajaan dan swasta di negeri ini.

"Kita amat sedar ramai dari golongan profesional di negeri ini memiliki pengetahuan asas Islam yang mantap tetapi mereka tidak diberi peluang secara sistematik untuk berkecimpung dalam usaha dakwah di kalangan masyarakat," katanya.

Program pemulihan tanah terbiar giat di Kelantan

Kelantan adalah antara negeri paling serius dalam menangani masalah tanah terbiar walaupun pengeluaran makanan di negeri ini melebihi dari keperluan penduduk tempatan.

"Pengeluaran beras oleh negeri Kelantan melebihi 21 peratus keperluan tempatan manakala pengeluaran buah-buahan adalah 190 peratus mengatasi keperluan.

"Cuma pengeluaran sayur kita kekurangan di sekitar 4 peratus tetapi langkah-langkah telah dirangka oleh jabatan pertanian bagi mengatasi masalah ini," kata pengerusi jawatankuasa pertanian, industri desa dan bioteknologi, Che Abdullah Mat Nawi.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Wan Ismail Wan Jusoh (PAS - Melor) pada persidangan dewan undangan negeri 7 Julai lalu.

Dalam keadaan demikian menurut beliau kerajaan negeri terus giat menjalankan usaha pemilhan tanah terbiar di negeri ini.

Bagi tujuan tersebut menurut beliau, Dato' Setiausaha Kerajaan sendiri telah diamanahkan oleh kerajaan untuk mempengerusikan satu jawatankuasa bagi mencapai tujuan tersebut.

"Kita yakin dengan kesungguhan pihak kerajaan, kita akan mencapai penggunaan sepenuhnya dalam jangkamasa 10 tahun akan datang sekiranya usaha ini berjalan lancar mengikut jadual," jelas beliau.

Institusi penghulu (ketua kampung) bakal diperkukuh

Kerajaan negeri Kelantan akan terus mengekalkan institusi penghulu (ketua kampung) supaya terus relevan dengan perkembangan semasa yang semakin mencabar.

Usaha memperkasakan peranan penghulu-penghulu itu akan meliputi pelbagai bidang terutama dari aspek menjaga kebajikan mereka.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, beberapa manfaat sedang dipertimbangkan kepada mereka antaranya memberi perlindungan Takaful.

"Melalui perlindungan tersebut sekurang-kurangnya dapat meringankan bebanan mereka ketika ditimpa sesuatu musibah semasa sedang menjalankan tugas," katanya ketika menjawab soalan Rohani Ibrahim (PAS - Tanjung Mas) pada persidangan Dun semalam.

Beliau juga menjelaskan kerajaan negeri sedia mempertimbangkan pelantikan wanita sebagai penghulu mukim pada masa akan datang memandangkan prestasi mereka begitu memberangsangkan.

Sehingga kini kerajaan negeri melantik 45 penghulu yang mewakili kawasan Dewan Undangan Negeri dan 14 lagi sebagai penghulu peringkat parlimen. Status mereka sebagai penghulu tanpa mukim.

Menjawab soalan tambahan Ustaz Mustaffa Mohamad (PAS - Demit) mengenai kelewatan pembayaran elaun kepada penghulu kata beliau, kerajaan negeri kini akan menyiasat di jajahan mana perkara itu berlaku.

Wan Hassan Wan Ibrahim (PAS - Semerak) pula berkata, kewibawaan penghulu di negeri ini seharusnya diperkasakan dengan membekalkan mereka dengan pelbagai cabang ilmu.

"Penghulu merupakan orang yang amat penting sebagai penghubung di antara anggota masyarakat dengan kerajaan di peringkat kampung," ujarnya.

Peranan NGO dipandang tinggi kerajaan negeri

Kelantan tidak memandang kecil peranan badan-badan bukan kerajaan dalam membangunkan masyarakat di negeri Ini.

Sehubungan itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO, Abdul Fattah Mahmood berkata satu peruntukan besar diagih-agihkan oleh kerajaan kepada badan-badan berkenaan.

"Bantuan bukan sekadar membiayai program-program yang dianjurkan pihak NGO tetapi ada beberapa NGO yang diberikan bantuan tunai bagi membantu pengurusan mereka," kata beliau ketika mejawab soalan Puan Rohani Ibrahim (PAS-Tanjong Mas).

Kerajaan terus pantau tahap kesihatan rakyat

Meskipun urusan kesihatan rakyat negara ini adalah di bawah tanggungjawab kerajaan persekutuan namun kerajaan negeri tetap mengambil peranan bagi memastikan kesejahteraan kesihatan rakyat terus diberi keutamaan.

Pengerusi jawatakuasa pembangunan wanita, keluarga dan kesihatan, Wan Ubaidah Omar memberitahu dewan undangan negeri Kelantan hari ini atas sebab itu kerajaan negeri membelanjakan wang yang besar dalam usaha pencegahan penyakit, pembersihan kawasan yang dilanda wabak serta membantu meringankan beban para pesakit kronik.

"Untuk bantuan terus kepada pesakit kronik sahaja, kita berbelanja satu juta setiap tahun.

"Ini tidak termasuk pembiayaan melalui pihak-pihak berkuasa tempatan dalam menjalankan kempen pencegahan penyakit dan usaha gotong royong bersama masyarakat apabila berlalu sesuatu wabak penyakit di tempat-tempat tertentu," kata beliau menjawab soalan Abdul Azziz Kadir (PAS-Jelawat).

No comments: