Monday, July 7, 2008

SIDANG DUN 8 JULAI 2008

Kerajaan akan pastikan pantai terus bebas dikunjungi

Hak orang ramai untuk mendapat akses mengunjungi pantai di negeri ini akan tetap dipertahankan.

Pengerusi jawatankuasa kerajaan tempatan, pelancongan dan kebudayaan, Dato' Haji Takiyuddin Hassan berkata kerajaan negeri mempunyai satu dasar yang jelas bahawa kawasan pinggir laut tidak akan diberi hak milik kepada mana-mana pihak.

"Kita akan pastikan akan tetap ada satu buffer zone supaya sesiapa pun tidak boleh dihalang dari berkunjung ke mana-mana pantai di negeri ini," katanya ketika menjawab soalan Wan Hassan Wan Ibrahim (Pas-Semerak) pada persidangan dewan undangan negeri hari ini.

Berhubung rancangan pembangunan di pantai Dalam Rhu, Pasir Puteh beliau berkata pihak kerajaan melalui Majlis Daerah Pasir Puteh sentiasa memantau projek ini supaya turut memberi manfaat kepada penduduk tempatan.

"Memang tujuan kita menggalakkan pembangunan di kawasan ini supaya para peniaga kecil yang memasarkan hasil laut secara kurang teratur di sepanjang jalan akan mendapat tempat yang selesa dan strategik apabila projek ini siap sepenuhnya nanti.

Usaha bantu orang asli dibuat pelbagai pihak

Masyarakat orang asli mendapat bantuan dari kerajaan negeri melalui pelbagai agensi dan jabatan walaupun tidak ada bahagian khusus untuk golongan berkenaan.

"Memang kerajaan negeri tidak bercadang untuk mengadakan agensi khusus untuk masyarakat orang asli kerana telah ada Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) yang dikendalikan kerajaan persekutuan," kata pengerusi jawatankuasa pembangunan insan, belia, sukan dan NGO, Abdul Fattah Mahmood semasa menjawab soalan lisan Chek Hashim Sulaima (Pas-Galas) di persidangan dewan undangan negeri baru-baru ini.

Walaubagaimanapun menurut beliau beberapa agensi kerajaan negeri seperti Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEIK), Jabatan Pertanian dan lain-lain sentiasa mengadakan pelbagai program dalam usaha membangunkan golongan berkenaan.

No comments: