Monday, July 28, 2008

Siti Nur juara sayembara Bulan Bahasa

KOTA BHARU 28 Julai - Bekas mahasiswa Universiti Malaya, Siti Nur Zafran Zainal Abidin menjuarai Sayembara Deklamasi Puisi sempena sambutan Bulan Bahasa dan Sastera peringkat negeri Kelantan malam tadi.

Beliau yang memenangi kategori terbuka, menerima wang tunai RM1,000 manakala Muhamad Arafat Ab. Aziz dengan puisi 'Bahtera di tengah Segara' di tempat kedua, menerima RM700 dan Khasran Hussin (ketiga).

Dalam pertandingan di Sekolah Menengah Kebangsaan Kota di sini yang dibahagikan kepada tiga kategori, juara sekolah menengah pula disandang oleh Nuraini Mohd. Zikre, pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Hwa.

Nuraini yang menyertai sayembara itu buat pertama kali, menerima hadiah wang tunai RM500 manakala Wee Vii Vian (kedua) dan Nik Amierah Noornadrah Ma'arof (ketiga).

Murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Islah, Mohd. Daniel Afifi Ezani pula menjadi johan kategori sekolah rendah manakala tempat kedua disandang oleh Mohd Nur Aiman Azmi dan ketiga, Nur Ain Adlina Mat Yaakob.

Sayembara itu dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) dan Gabungan Penulis Muda Negeri Kelantan (Gema).

Ketua Sektor Pengurusan Kemanusiaan Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan, Ishak Ismail dan Pegawai Perancang Bahasa DBPWT, Syaidul Azam Kamaruddin menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Sayembara itu diadakan sejak 2001 bertujuan mendekat dan memupuk minat masyarakat terhadap kegiatan bahasa dan sastera.

No comments: