Monday, July 28, 2008

Tanaman vitato PDRK II mula dituai

BACHOK 28 Julai - Sebanyak 10 peserta Projek Diraja Kelantan II (PDRK II) Kampung Nenasi di sini berjaya keluar daripada lingkaran kemiskinan apabila tanaman ubi keledek vitato yang diusahakan mereka sejak April lalu kini boleh dituai.

Tanaman yang diusahakan di kawasan seluas 2.5 hektar itu dan diselang-seli dengan tanaman cili, roselle, tembikai dan jagung kini sudah matang serta boleh dijual dengan menghasilkan pendapatan purata RM2,000 sebulan.

Tanaman tersebut mula dituai Jumaat lalu dan hari ini, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri mula membeli hasil mereka sebanyak empat tan metrik.

Timbalan Pengarah FAMA negeri, Fauzi Mohamed, hasil tanaman perintis ini pada musim pertama dijangka memberikan pendapatan kira-kira RM8,000 hingga RM10,000 seorang.

''Secara keseluruhan, tanaman yang diusahakan dengan kos RM17,000 ini mampu mengeluarkan hasil 12 tan metrik bagi 0.4 hektar.

''Dianggarkan satu perdu pokok mengeluarkan hasil satu kilogram dengan purata harga sekilogram 70 sen,'' katanya kepada pemberita selepas melawat kawasan tanaman ubi keledek vitato di sini hari ini.

Menurutnya, projek ini dijalankan di kalangan peserta Program Penempatan Masyarakat Setempat (PPMS) yang sebelum ini terdiri daripada 50 golongan miskin tegar.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 10 daripada mereka dilibatkan dalam aktiviti pembangunan berasaskan pertanian.

''Sepuluh peserta lagi terlibat dalam tanaman cendawan tiram dan selebihnya dalam bidang bengkel kereta, jahitan dan makanan kering," katanya.

Beliau menambah, FAMA memasarkan ubi keledek vitato kepada pelbagai pihak yang diproses untuk dijadikan jus, makanan sejuk beku selain dieksport ke Singapura.

Salah seorang peserta, Mohd. Ismail Mohamed,46, dan isteri Norizan Yaakub, 41, mengakui sejak menyertai projek tersebut kehidupan mereka semakin baik dengan pendapatan semakin meningkat.

''Sebelum ini, pendapatan lebih kurang RM300 sebulan tetapi melalui tunjuk ajar Jabatan Pertanian, pendapatan kami mencecah RM1,000 sebulan," kata bapa kepada tujuh anak itu.

No comments: