Friday, July 18, 2008

Mengindustrikan luar bandar: PM

Oleh Abdul Halim Yusoff dan Azli Ayob
bhnews@bharian.com.my

“Kerajaan mengambil langkah mengimbangi jurang pembangunan bandar dan luar bandar menerusi pembangunan keupayaan, terutama dengan mengembangkan aspek modal insan dan memastikan sistem pengagihan berasaskan ekuiti secara adil dan saksama.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan akan mewujudkan lebih banyak peluang berkualiti di luar bandar bagi melahirkan lebih ramai usahawan serta profesional Melayu untuk mengimbangi kerancakan pembangunan di bandar.

Perdana Menteri berkata, menerusi pembangunan koridor ekonomi, orang Melayu yang lebih banyak bertumpu di luar bandar akan mendapat manfaat besar bagi mengembangkan bidang pertanian dengan terbabit sama dalam industri asas tani.

Abdullah berkata, kerajaan sedar pembangunan dan peluang perniagaan, perdagangan dan pendidikan lebih tertumpu di bandar yang majoriti penduduknya bukan Melayu dan sektor diceburi mereka dalam bidang pembuatan dan perkhidmatan sudah menjadi penggerak utama ekonomi. “Jadi pengagihan tidak hanya dari segi wang atau pendapatan... mereka (orang Melayu) juga mesti mendapat pengagihan peluang yang bermutu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Ekonomi Bumiputera 2008 (KEB 08) anjuran Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) di sini, semalam. Hadir sama, Pengerusi Gabem, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik.

Konvensyen dua hari bertemakan ‘Melonjakkan Ekonomi Bumiputera’ adalah anjuran bersama Gabem dan Pemuda Umno.

Mengulas lanjut, Abdullah berkata, kerajaan mahu mengindustrikan luar bandar dengan tumpuan dalam bidang pertanian, terutama yang membabitkan perusahaan getah serta kelapa sawit.

No comments: